Sunday, January 24, 2010

" Ketika kita menjadi pembuka kepada jalan kebaikan". كن مفتاحاً للخير


Saya ingin berkongsi dengan pembaca satu luahan kata-kata yg baik disampaikan oleh seorang ulama yg faqeh, menyeru kepada kebaikan.

Nasihat ini disampaikan oleh Syiekh Abdul Razak bin Abdul Muhsin al-Badr dan diterjemahkan oleh Ustaz Abu Khaleed Resa Gunersa dan dialih bahasa oleh Abu Usamah Masri bin Mohd Ramli kepada bahasa Melayu. Semoga kita mendapat manfaat dari nasihat berguna ini.

Renunglah isi-isi dan noktah-noktah penting dari nasihat beliau dan aplikasikan ke dalam hidup kita, sedar atau tidak hal ini selalu berlaku didalam hidup insan, namun ramai yg kurang mengambil peduli dan tak kurang juga yg tidak langsung tahu . Selamat membaca maqalah ini yg bertajuk " Ketika kita menjadi pembuka kepada jalan kebaikan".
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka jalan kebaikan dan menjadi penutup jalan keburukan, dan di antara manusia juga ada yang menjadi pembuka jalan keburukan dan menjadi penutup kebaikan. Maka, berbahagialah orang yang Allah telah menjadikan jalan-jalan kebaikan melalui tangannya, dan celakalah bagi orang yang Allah telah menjadikan jalan-jalan keburukan melalui tangannya.” (HR Ibnu Majah, dihasankan al-Albani)

Sesiapa yang mahu dirinya menjadi pembuka jalan kebaikan, penutup keburukan dan menjadi orang yang beruntung, maka hendaklah dia melakukan hal-hal berikut:-


1. Ikhlas kepada Allah di dalam setiap kata-kata dan perbuatan. Ini kerana ia adalah asas kepada seluruh kebaikan dan sumber segala keutamaan.


2. Berdoa dengan bersungguh-sungguh serta memohon kepada Allah taufiq. Ini kerana doa adalah kunci segala kebaikan, dan Allah tidak akan menolak seorang hamba yang berdoa kepadanya, juga tidak akan merugikan seorang mukmin yang menyerunya

3. Bersemangat di dalam mencari ilmu dan mendapatkannya. Ini kerana ilmu adalah pendorong kepada perbuatan yang utama dan mulia, pencegah daripada perbuatan keji dan dosa-dosa besar.

4. Memerhatikan amal-amal ibadah terutamanya ibadah-ibadah fardhu. Khususnya solat, kerana ia mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.

5. Berhias diri dengan akhlak yang mulia dan tinggi, serta menjauhi akhlak yang rendah dan tidak terpuji. 

6. Merapati orang-orang baik dan bermajlis dengan orang-orang soleh. Ini kerana majlis-majlis mereka di hadiri oleh para malaikat dan diliputi rahmat. dan berhati-hatilah agar tidak bermajlis [duduk bersama] dengan orang-orang buruk dan jahat kerana ia adalah tempat para syaitan.

7. Menasihati hamba-hamba Allah saat bergurau senda dan bergaul dengan mereka, dengan cara menyibukkan mereka dengan kebaikan dan memalingkan mereka daripada keburukan.

8. Mengingati saat kembali (akhirat),
saat berhenti di hadapan Allah/bertemu dengan Allah, saat Allah membalas orang-orang yang berbuat baik dengan kebaikan dan membalas orang-orang yang berbuat buruk dengan keburukan.

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.” (Al-Zalzalah: 78)

9. Tiang semua itu adalah keinginan kuat (raghbah) seorang hamba di dalam kebaikan, mencari manfaat dan memberi manfaat kepada hamba-hamba Allah yang lain.

Maka, ketika keinginan tertegak, niat menjadi teguh, tekad semakin kuat, dan memohon pertolongan kepada Allah, maka datanglah hal-hal tersebut daripada pintu-pintunya, maka seseorang –dengan izin Allah- akan menjadi jalan bagi kebaikan dan penutup bagi keburukan Allah-lah yang menguasai hamba-hamba-Nya dengan taufiqNya, membukakan bagi sesiapa sahaja yang dikehendakiNya kebenaran dengan benar dan Dialah sebai-baik penunjuk kepada kebenaran.

No comments: