Sunday, May 2, 2010

Duduk dikuburan, boleh atau tidak?

Assalamualaikum w.bt  
Saya terpanggil utk menjawab satu soalan yg ditanya dari seorang teman iaitu mengenai duduk diatas tanah kubur, bagaimana hukumnya?

Didalam kehidupan seharian kita sebagai muslim,kita beriman bahawa setiap yg hidup pasti akan mati dan setiap yg mati pasti akan dibangkitkan semula dipadang mahsyar. Kita juga beriman akan kewujudan alam ghaib dan hari khiamat. Kita dibatasi penglihatan dan pendengar mengenai alam ghaib melainkan apa yg diberitakan oleh Allah melalui Rasul-Nya.

Kita dapati bahawa amalan menziarahi kubur ini dapat mengingatkan kita tentang kematian dan negeri akhirat yang padanya mempunyai pelbagai pengajaran dan menimbulkan keinsafan. Ia juga mengigatkan kesudahan kita sama ada neraka atau syurga diakhirat nanti.


Nabi SAW mengajarkan kita adab-adab ketika kita berdepan dengan jenazah dan adab dikuburan.

Diriwayatkan didalam hadis dari Amir bin Rabi'ah r.a mengatakan bahwa Nabi saw bersabda, "Apabila salah seorang di antaramu melihat jenazah, jika dia tidak berjalan bersamanya, maka berdirilah sehingga membelakanginya atau jenazah itu mendahului dia, atau hingga jenazah itu diletakkan sebelum mendahului dia." (HR. Bukhari)

Dikisahkan didalam Hadis:

Abu Sa'id al-Maqburi berkata, "Kami bersama-sama mengantarkan jenazah seseorang, lalu Abu Hurairah memegang tangan Marwan. Kemudian mereka duduk sebelum jenazah diletakkan.

Lalu Abu Sa'id datang, dan memegang tangan Marwan seraya berkata, 'Berdirilah! Demi Allah bahwa orang ini telah mengetahui bahwa Nabi melarang hal itu.'" (Dan dari jalan lain disebutkan: Beliau bersabda, "Apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah. Barangsiapa yang mengantarkannya, maka janganlah ia duduk sebelum jenazah itu diletakkan." 2/87). Lalu Abu Hurairah berkata, "Dia benar." (HR. Bukhari)

Kedua-dua hadis diatas menunjukan larangan duduk ketika jenazah melalui dihadapan kita. Kita disuruh berdiri. Ini adalah satu adab yg ramai diantara kita tidak mengetahuinya.

Begitu juga apabila menziarahi kubur, terdapat beberapa adab dan peraturan lain yang perlu dipatuhi. Ini kerana menziarahi kubur ini merupakan ibadah dan sesuatu ibadah yang dilakukan mestilah bersih dari segala unsur-unsur syirik, khurafat dan bid’ah. Justeru, ia mesti dilakukan berpandukan peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat.

Di antara larangan yang perlu diberi perhatian semasa kita menziarahi kubur atau mengebumikan jenazah ialah tidak duduk di atas kubur. Larangan ini berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulullah saw. Antaranya ialah:

Daripada Abu Hurairah ra berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda (bermaksud): ((Sekiranya seseorang kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh dan menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur)). (Hadis Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’I, dan Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad)

Daripada Abu Marthad al-Ghanawi berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda (bermaksud): ((Jangan kamu sembahyang mengadap ke arah kubur, dan jangan kamu duduk di atasnya)). (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’I, al-Tirmizi)

Al-Imam al-Nawawi (w 676) ketika menghuraikan hadis-hadis ini mengatakan bahawa haram untuk duduk di atas kubur. (Rujuk: al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz (Beirut: Dar al-Ma’rifah, cet. 7, 2000), jil.7, hal.41).

Al-Mubarakfuri (w 1353) pula dalam Tuhfat al-Ahwazi, semasa menghuraikan hadis Abu Marthad al-Ghanawi mengatakan bahawa: “Hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya duduk di atas kubur, dan inilah pendapat jumhur…dan ditegah segala sesuatu yang tidak terdapat panduannya daripada sunnah, dan sesungguhnya apa yang ditunjukkan oleh sunnah ialah menziarahi kubur dan berdoa disisinya secara berdiri”. (al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwazi, Kitab al-Janaiz (Madinah: Maktabah al-Salafiyah, cet.2, 1965), jil. 4, hal, 153).

Al-Imam al-Syawkani (w 1255), di dalam Nail al-Awtar, menyebut bahawa hadis Abu Hurairah ini merupakan dalil yang menegah daripada duduk di atas kubur, dan para jumhur berpendapat hukumnya adalah haram. (Rujuk: Al-Syawkani, Nail al-Awtar, Tahqiq: Anwar al-Baaz (al-Mansurah: Dar al-Wafa’, cet. 2, 2003), jil.3, hal.189)

Menurut al-Imam al-San ‘ani pula: “Di antara perkara yang menyakiti dan menggangu mayat ialah duduk di atas kuburnya, ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Hafiz Ibn Hajar berkata bahawa sanadnya sahih, iaitu hadis daripada Amru bin Hazm al-Ansari bahawa beliau berkata: Rasulullah saw melihat aku duduk di atas kubur, lalu Baginda bersabda: ((Jangan kamu ganggu dan sakiti penghuni kubur ini)).

Kemudian al-San ‘ani mendatangkan pula hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Abu Marthad, lalu beliau memberikan pandapatnya: “Semua dalil-dalil ini membawa maksud haramnya duduk dan lalu di atas kubur, kerana hadis Nabi: ((Jangan kamu mengganggu penghuni kubir ini)) menunjukkan tegahan daripada mengganggu mayat orang mukmin dan menganggu dan menyakiti mukmin ini adalah haram berdasarkan nas al-Quran (bermaksud): ((Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata)) ( Surah al-Ahzab:58)

(Rujuk: Al-San ‘ani, Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, Tahqiq: Hazim Ali Bahjat al-Qadhi (Beirut: Dar al-Fikr, 2003), jil. 3, hal.573-574)

Syiekh Mohamad Soleh ibn al-Uthaimin ketika menghuraikan hadis tentang larangan duduk di atas kubur ini berkata: “Ini kerana di dalam kubur itu terdapat insan muslim yang perlu dihormati, dan perbuatan engkau duduk di atasnya merupakan suatu penghinaan baginya, maka sebab itulah Nabi saw bersabda: ((Sekiranya salah seorang diantara kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh serta menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur)), dan ini menunjukkan bahawa hukumnya adalah haram”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin, Tahqiq: Muhamad Muhamad Tamir (Kaherah: Dar al-A’nan, cet. 1, 2002), jil.4, hal. 320)

------------------------------------------------------------------
Kesimpulannya:
1. Islam menganjurkan kita supaya menghormati jenazah dengan cara berdiri bila ia melalui kita.
2. Amalan menziarahi kubur merupakan suatu yang dituntut dan dianjurkan oleh Islam kerana ianya
dapat mengingatkan kita dengan persoalan kematian dan kembalinya kita syurga atau neraka?.
3. Kita dilarang keras oleh Nabi SAW dari duduk ditanah perkuburan.
4. Adab-adab dan larangan ketika berada di kawasan perkuburan mestilah dijaga dan diberi perhatian
agar ibadah yang kita lakukan ini tidak dicemari oleh perkara-perkara yang ditegah.
5. Jadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah saw ini sebagai rujukan agar
kehidupan kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat di bawah kasih sayang dan Rahmat Allah.

No comments: