15 Prinsip Dasar (Manhaj) Ahli As-Sunnah Wal Jamaah
(oleh Ust. Ismail Omar)
1. Manhaj ar-Rasul dan para Sahabat
ASWJ berpegang teguh kepada manhaj ar-Rasul SAW sewaktu hidupnya dan manhaj para Sahabat selepas darinya. Manhaj itu adalah Al-Quran Al-Karim yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya. Seterusnya Rasul-Nya menerangkan dan menjelaskan kepada sahabat-sahabatnya dalam hadith-hadith sahih. Sekalian Muslimin diarah supaya berpegang teguh kepada keduanya iaitu Al-Quran dan Al-Hadith.
2. Mendahului perintah Allah dan Rasul-Nya dari yang lain
ASWJ tidak mendahulukan perintah/perkataan sesiapa pun daripada perintah/perkataan Allah dan Rasul-Nya.
3. Kembali kepada Allah dan Rasul-Nya dalam sebarang perselisihan
ASWJ kembali kepada kalam/perkataan Allah dan Rasul-Nya dalam sebarang perselisihan atau pertikaian.
4. Tidak fanatik kecuali kepada Allah dan Rasul-Nya serta menghormati para Imam Mujtahid
ASWJ tidak taksub/fanatik kecuali kepada perkataan Allah dan Rasul-Nya yang maksum yang tidak berkata-kata menurut hawa nafsunya. Mereka menghormati para Imam Mujtahid dan mengambil hukum Feqah daripada Al-Quran, hadith-hadith sahih, dan daripada pendapat kesemua Imam-Imam Mujtahid itu sendiri yang menyuruh meninggalkan mana-mana pendapat yang bercanggah dengan Al-Quran dan hadith sahih. Setiap manusia selain daripada Rasul – walau berapa tinggi sekalipun martabatnya – akan tetap membuat kesilapan.
5. Berjemaah menyatukan barisan umat Islam di atas Aqidah yang sahih
ASWJ mewajibkan berjemaah sebagai punca kejayaan di dunia dan di akhirat, mereka menyatukan barisan umat Islam atas dasar Aqidah yang betul. Mereka meninggalkan perbalahan dan perselisihan yang boleh membawa perpecahan terutama dalam masalah furu’ atau ranting yang temeh. Mereka mengutamakan segala usaha bekerjasama menegakkan manhaj Aqidah As-Salaf As-Soleh di muka bumi.
6. Tauhid sebagai teras kepimpinan pemerintahan Islam dan hukum perundangan Allah
ASWJ menganggap Tauhid iaitu pengesaan Allah dalam segala jenis ibadat sebagai asas wajib didirikan di atasnya pemerintah/pimpinan/negara/jamaah Islam yang sahih. Mereka juga menolak setiap sistem perundangan pemerintahan ciptaan manusia.
7. ‘Amr Ma’ruf Nahi Munkar
ASWJ mengamalkan ‘Amr Ma’ruf dan Nahi Munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kejahatan).
8. Berjihad ke jalan Allah
ASWJ mengajak seluruh kaum Muslimin berjihad di jalan Allah. Ia adalah merupakan perkara wajib ke atas setiap orang Islam menurut keupayaan masing-masing. Berjihad pada jalan Allah itu adalah salah satu daripada 3 cara iaitu: berjihad dengan lidah dan penulisan, berjihad dengan harta dan yang tertinggi ialah berjihad dengan nyawa/jiwa raga.
9. Menghindar bid’ah yang memecah belahkan ummah
ASWJ menolak segala jalan-jalan yang berunsur bid’ah yang melahirkan puak-puak penghancur yang memecah belahkan ummah dengan mengada-adakan perkara baharu atau bid’ah dalam agama terutama dalam masalah Aqidah serta mengajak menjauhi sunnah Ar-Rasul SAW dan para Sahabatnya.
10. Menghidupkan amalan As-Sunnah dalam hidup mereka
ASWJ menghidupkan sunnah ar-Rasul SAW dalam ibadat, kelakuan dan perjalanan hidup mereka. Oleh kerana itu, mereka selalu seolah-olah dianggap menjadi orang dagang/asing yang janggal di antara kaum mereka.
11. Menyatukan ilmu dan amal serta zahir dan batin
ASWJ mempraktikkan agama Islam dengan menyatukan ilmu dan amalan serta zahir dan batin tanpa memisah antaranya sebagaimana yang dipraktikkan oleh ar-Rasul SAW dan para Sahabatnya.
12. Pertengahan dan kesederhanaan
ASWJ adalah golongan pertengahan dan kesederhanaan. Mereka bukanlah dari puak pelampau atau ekstremis yang meninggi-ninggikan (memuliakan) atau pun merendah-rendahkan seseorang individu, golongan atau pendapat dengan sebarangan tanpa asas agama. Inilah yang dimaksudkan dengan SiratulMustaqim atau Jalan Yang Lurus.
13. Syariat Rasulullah SAW
ASWJ beramal dengan syariat Rasulullah SAW. Tiada sesiapa yang boleh terkeluar darinya. Syariat ini adalah mencakupi segenap sudut agama termasuk bidang Aqidah, Feqah, perancangan, Ibadat, Akhlak, politik kemasyarakatan dan lain-lain.
14. Perbezaan darjat antara umat Islam
ASWJ menyedari penuh akan hakikat perbezaan darjat antara mereka dari segi ilmu, kefahaman dan kesabaran dalam proses perlaksanaannya. Oleh itu, terdapat perbezaan pendapat dalam ijtihad-ijtihad mereka disebabkan perbezaan tingkatan ilmu mereka berkenaan pemahaman As-Sunnah. Walau apa pun, mereka tetap meraikan perbezaan pendapat dalam ijtihad ini dengan menekankan supaya memelihara penyatuan umat dan menjauhi unsur-unsur perpecahan.
15. Ruang lingkup masyarakat ASWJ merangkumi campuran manusia biasa
ASWJ adalah campuran manusia biasa. Ada di antara mereka yang benar dan soleh. Ada yang membuat maksiat disebabkan kelemahan masing-masing samada disedari atau tidak disedari. Walau apa pun, pada keseluruhannya mereka adalah lebih baik jika dibandingkan dengan golongan lain
8 comments:
Penting buat semua.... Baca fahamkan dan aplikasikan ia dlm kehidupan sbg muslim sejati..
Ya benar, sangat bermanfaat bg org yg memahami dan mengamalkan prinsip ini...
Mohon share ye..
Mohon dikongsi ye..
Mohon dikongsi ye...
Mohon dikongsi ye...
mohon share...
Silakan share
Post a Comment