Alhamdulillah,bersyukur pada Allah diberikan kesihatan menghadapi bulan keberkatan dan kecintaan kita. Bulan Ramadhan adalah bulan yang
memiliki keutamaan dan keistimewaannya.
Di dalam bulan inilah al-Qur’an
diturunkan. Di dalam bulan inilah pintu-pintu Syurga dibuka manakala
pintu-pintu Neraka ditutup. Di dalam bulan ini ada malam al-Qadr, iaitu
malam yang mulia yang memiliki kebaikan melebihi seribu bulan. Di dalam
bulan inilah umat Islam diperintahkan agar berpuasa yang dengannya
terkandung pelbagai kebaikan.
Bulan Diturunkan al-Qur’an
Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman:
شَهْرُ
رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ
مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ
فَلْيَصُمْهُ
“Bulan Ramadhan yang padanya
diturunkan al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan
penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan sebagai pembeza (antara
yang haq dengan yang bathil). Maka, sesiapa di antara kamu menyaksikan
(di negeri tempat tinggalnya) bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa di
bulan tersebut.” (Surah al-Baqarah, 2: 185)
Berdasarkan pengangan jumhur ulama,
al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia di Baitul ‘Izzah
untuk menunjukkan kepada para malaikat-Nya akan agungnya al-Qur’an ini.
Diturunkan pada bulan yang mulia dan malam yang mulia, iaitu malam
al-Qadr pada tanggal 24 Ramadhan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أُنْزِلَتْ
صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ
رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ،
وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ
الْقُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ
“Shuhuf (lembaran-lembaran) Ibrahim
diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada
tarikh 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada tarikh 13 Ramadhan, dan
al-Qur’an diturunkan (nuzul al-Qur’an) pada tarikh 24 Ramadhan.” (Hadis
Riwayat Ahmad, no. 16984. Ath-Thabrani, no. 3740)
Secara rasminya, al-Qur’an diturunkan
kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk pertama kalinya pada
malam itu juga. Kemudian secara beransur-ansur selama 23 tahun
bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang mengiringinya bermula dari
beliau diutus sehinggalah wafatnya. Selama tiga belas tahun beliau
tinggal di Makkah, dan selama itu jugalah wahyu turun kepadanya.
Selepas hijrah, beliau tinggal di
Madinah selama sepuluh tahun dan selama itu jugalah wahyu terus turun
kepada beliau secara beransur-ansur. Beliau wafat dalam usia 63 tahun.
Maka, dengan rasminya sempurnalah penurunan al-Qur’an dan bermula dari
saat itu terputuslah wahyu dari langit dengan wafatnya beliau.
Dibukanya Pintu-pintu Syurga
Ramadhan adalah bulan di mana pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka
pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup,
dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, bab:
Sifat-sifat Iblis dan Para Tenteranya, no. 3277)
Pada bulan Ramadhan para syaitan
tidak sebebas bulan lainnya kerana ia dibelenggu, maka kuasa gangguannya
merosot pada bulan tersebut sebagaimana pandangan sebahagian ulama.
Manakala sebahagian ulama lainnya
mengatakan bahawa hadis tersebut bukan bererti menunjukkan setiap
syaitan dibelenggu, tetapi disebutkan sebagaimana dalam hadis yang lain
bahawa yang dibelenggu adalah sebahagian besar syaitan atau merujuk para
syaitan yang besar dan ganas.
Imam al-Qurthubi rahimahullah menjelaskan:
فإن قيل
كيف نرى الشرور والمعاصى واقعة في رمضان كثيرا فلو صفدت الشياطين لم يقع
ذلك فالجواب أنها إنما تقل عن الصائمين الصوم الذي حوفظ على شروطه وروعيت
ادابه أو المصفد بعض الشياطين وهم المردة لاكلهم كما تقدم في بعض الروايات
أو المقصود تقليل الشرور فيه وهذا أمر محسوس فإن وقوع ذلك فيه أقل من غيره
اذلا يلزم من تصفيد جميعهم أن لا يقع شر ولا معصية لأن لذلك اسبابا غير
الشياطين كالنفوس الخبيثة والعادات القبيحة والشياطين الإنسية
“Apabila dikatakan, “Mengapa kita
masih melihat kejahatan dan maksiat berlaku di bulan Ramadhan, sekiranya
syaitan dibelenggu, bukankah sepatutnya perkara seperti itu tidak akan
berlaku?” Maka jawabannya, “Bahawasanya gangguan syaitan hanya berkurang
terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan
adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja,
iaitu para penentang yang ganas dari kalangan mereka sebagaimana
dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah
berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara
yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan
Ramadhan lebih
sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Apabila semua
syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab untuk tidak akan berlakunya
kejahatan dan kemaksiatan. Kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu
turut didorong oleh sejumlah faktor lainnya selain dari faktor syaitan.
Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan
syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri.” (Ibnu Hajar, Fathul
Bari, 4/114)
Malam al-Qadr
Malam al-Qadr (atau lailatul qadr)
adalah malam yang Allah muliakan dengan banyaknya keutamaan dan
kebaikan. Ia adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan. Ibadah yang
dikerjakan pada malam tersebut setanding dengan amalan kebaikan selama
seribu bulan, iaitu 83 tahun 4 bulan. Sedangkan umur umat Muhammad
puratanya hanyalah sekitar 60 hingga 70 tahun sebagaimana disebutkan
dalam hadis.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ، وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ
“Umur umatku adalah di antara 60
hingga 70 tahun. Yang melebihi usia tersebut adalah amat sedikit
sekali.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3550)
Tetapi Allah telah memuliakan mereka
dengan adanya malam al-Qadr tersebut di setiap tahun pada bulan Ramadhan
untuk beramal dengan ganjaran pahala selama amalan seribu bulan.
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir
rahimahullah (Wafat: 774H), “Malaikat banyak yang turun pada malam
tersebut kerana banyaknya kebaikan. Para malaikat turun bersamaan dengan
turunnya keberkahan dan rahmat.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/444)
Kata Syaikh Muhammad B. Soleh
al-‘Utsaimin rahimahullah, “Para Malaikat turun pada malam al-Qadr
dengan membawa kebaikan, rahmat, dan barakah. Malam tersebut disebut
malam kesejahteraan kerana banyaknya hamba Allah yang selamat dari
siksaan disebabkan ketaatannya kepada Allah.” (Majalis Syahri Ramadhan,
m/s. 252-253)
Bulan Keampunan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الصَّلَوَاتُ
الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى
رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
“Solat 5 waktu, Juma’at ke Juma’at
berikutnya, dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah pelebur dosa
antara keduanya apabila dosa-dosa besar dijauhi.” (Hadis Riwayat Muslim,
no. 233)
Beliau juga bersabda:
مَنْ قَامَ
لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ
مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ
لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang menghidupkan malam
al-Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah, maka diampunkan
dosanya yang telah lalu. Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan
kerana keimanan dan mengharap pahala Allah, maka akan diampunkan dosanya
yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1901)
Demikianlah Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam menjelaskan betapa Ramadhan penuh dengan peluang
keampunan dosa-dosa. Antaranya dengan berpuasa dan menghidupkan malam
al-Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Maka ya Allah, ampunilah kami dari dosa-dosa kami.
‘Umrah di Bulan Ramadhan
Selain ibadah-ibadah yang dimaklumi
seperti berpuasa wajib, qiyam Ramadhan, dan bersedekah, melaksanakan
ibadah ‘umrah pada bulan Ramadhan juga turut dijelaskan sebagai memiliki
fadhilat dan ganjaran yang khusus. Ini sebagaimana disebutkan dalam
sebuah hadis.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
فَإِنَّ عُمْرَةً فِي رَمَضَانَ تَقْضِي حَجَّةً أَوْ حَجَّةً مَعِي
“Sesungguhnya (pahala) melaksanakan
‘umrah pada bulan Ramadhan itu menyamai (pahala) melaksanakan haji
bersama-ku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1863)
Cukuplah beberapa contoh keutamaan
yang menunjukkan agungnya bulan Ramadhan ini. Di samping memang masih
banyak lagi contoh-contoh keutamaan yang lainnya. Semoga kita manfaatkan
Ramadhan ini semaksima mungkin bertepatan dengan sifat keistimewaannya
sebagai bulan yang penuh kebaikan, penuh rahmat, penuh ganjaran, bulan
keampunan, dan bulan ibadah.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment